Bismillahirrahmanirrahim...
Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w: " Siapakah yang menjadi sahabat yang paling baik bagi kami? " Jawabnya, " Seorang apabila kamu pandangnya kamu teringat akan Allah s.w.t. Apabila kamu dengari percakapannya, pengetahuan kamu mengenai islam bertambah, apabila kamu melihat kelakuannya kamu teringat akan kehidupan." Moga ukhwah kita diberkati dan diredhai Allah s.w.t.
Terkenang saat bersama dia ketika mula-mula melangkah ke alam kampus. Kami mula mengenali dan menjadi rapat setelah berkongsi di bilik hostel yang sama. Penulis masih ingat lagi pada waktu itu, kami sangat muda dan mentah untuk menempuh dunia kampus yang tidak dapat lari daripada menerima kejutan budaya atau 'culture shock'. Sebab itu semasa di matrikulasi, Cikgu Mariam sudah berpesan supaya cari dan menyertai Persatuan Mahasiswa Islam apabila masuk ke universiti nanti dan beliau turut mengingatkan kami supaya mencari sahabat-sahabat di surau kerana dunia kampus sangat mencabar. Sekiranya salah memilih kawan, kelak kita akan tersasar daripada laluan terang yang akhirnya akan bertukar menjadi gelap gelita. Alhamdulillah dengan berkat dan amanat terakhir Cikgu Mariam dan atas izinNYa penulis masih lagi dalam peliharaanNYA. InshaAllah.
Terlalu banyak nostalgia suka dan duka kami sepanjang hampir tiga tahun menuntut ilmu di menara gading. Jika diimbas kembali pasti penulis amat sedih apabila teringat pada seorang sahabat yang sama-sama satu sekolah, satu matrik dan akhirnya belajar di universiti yang sama. Kami ibarat kembar juga belangkas kerana sentiasa bersama ke mana-mana. Sehingga nama kami sering tertukar apabila dipanggil dek kerana nama kami yang hampir sama walaupun lain mak dan ayah. Sukar untuk dicerita dan dilupakan tetapi biarlah dirinya sentiasa dilindungi Allah s.w.t. Persahabatan kami benar-benar teruji ketika itu. Biarlah DIA yang lebih mengetahui.
Walhamdulillah di atas kurniaan seorang sahabat yang penulis ingin ceritakan ini. Kini, dia telah kembali pulang ke kampungnya kerana dia lebih diperlukan di sana.Ya, untuk apa? Untuk terus berjuang, berbakti, berkhidmat dan memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari ke lapangan ummah. Kerana DIA lebih mengetahui yang mana lebih terbaik untuk hamba-hambaNYA. Penulis juga yakin sahabat ini sudah cukup berpengalaman dan bisa memikul amanah dalam mencorakkan kehidupan amal islami di sana dengan sedikit sebanyak ilmu yang dikutip sepanjang perjalananan. Jiwa dan minat yang sama memudahkan interaksi antara kami dan menjadikan kami lebih akrab dalam menjalankan aktiviti yang lebih kepada program-program berbentuk majlis ilmu. Saban kali kami tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai majlis-majlis ilmu sehinggalah kami menyertai usrah setelah mendaftar sebagai ahli Persatuan Mahasiswa Islam. Alhamdulillah, ia dapat mengisi kekosongan jiwa kami ketika itu kerana saat itu kami dikelilingi masalah sosial yang sangat teruk walaupun kesemua mereka adalah mahasiswa yang intelektual, tetapi kontang sahsiahnya terutama sekali masalah dari segi pergaulan bebas dan fesyen pakaian yang agak keterlaluan. Hati ini juga sering juga memohon padaNYA agar dijauhkan dari segala kemungkaran dan memautkan hati ini pada rumahNYA. Sesungguhnya DIA Maha Mendengar dan Maha Memperkenankan!
Ilmu dan pengalaman mematangkan kami untuk terus menaburkan butir-butir kalimah NYA yang sangat bernilai di muka Bumi agar dapat membentuk gagasan-gagasan dan rantaian yang utuh dalam menjayakan misi keagunganNYA dan RasulNYA. Sudah 23 tahun kami bernafas hingga kini masih berpeluang menyedut udara yang tidak terbayar oleh manusia. Atas kesedaran dan pilihan yang dibuat apatah lagi kewajipan yang tergalas di bahu setiap orang islam, kami teruskan langkah meneruskan misi menyelamat aqidah dan akhlak ummah Islam. Moga diberi kekuatan. Ameen.
Tidak kira jauh atau pun dekat, tidak kira di mana penulis dan dia dicampakkan, teruskan lah berbakti , teruskan berjuang, hidupkan sunnah dan Al-Quran kerana Rasulullah s.a.w telah berpesan yang bermaksud : " Sampaikan perkataan-perkataanku walaupun sepotong ayat." . Rasa sedih masih tersimpan di dalam hati kerana ditinggalkan tetapi ingatlah DIA Ya Bariq! yang mengatur agenda hidup makhluk-makhluknya. Di situlah, kita akan terus diuji sejauh mana usaha kita untuk menegakkan islam di zaman fasakh dan mungkar.
Tidak terungkap segala isi hati penulis, namun yang penting sahabat adalah tulang belakang kepada setiap daripada kita. Cari dan pilihlah sahabat yang membawa kita lebih dekat padaNYA. Jadilah sahabat seperti Saidina Abu Bakar r.a yang sentiasa bersama Rasulullah s.a.w semasa susah ataupun senang.
Friday, March 12, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment