˙٠ Setapak ku melangkah mencari arah tuju,mengutip sisa kekuatan untuk terus hidup di bumi Tuhan yang maha luas ini...
˙٠ Segala coretan melalui mata hati,ku hamparkan di sini....
˙٠ atas dasar perkongsian bersama......
˙٠Moga aku akan menjadi lebih kuat dalam menempuh cubaan dariMu,Ya ALLAH.....





Sunday, February 7, 2010

MENYELAMI HAKIKAT CINTA BIMBINGAN WAHYU


CINTA..............


"Suatu kalimah yang begitu indah untuk diungkapkan, apatah lagi apabila dimiliki… Satu istilah yang menggambarkan suatu perasaan harmoni, sayang, dan tenteram yang lahir dari dalam lubuk hati bernama insan dan sebahagian besar makhluk yang bernyawa…"

------
MENCINTAI ALLAH
------

Dalam melampiaskan perasaan cinta, dari jiwa, hati dan naluri… cinta yang teragung mestilah untuk-Nya, untuk Dia. Tuhan yang Maha Esa. Yang mengurniakan kita segala-galanya yang kita miliki saat ini. Dia yang menjaga kita setiap detik, setiap saat… di mana jua posisi mhupun lokasi kita. Samaada kita berperangai baik mahupun sebaliknya. Dia tetap mengawasi kita.

Dalam persoalan cinta ini… persoalan iman adalah persoalan yang besar dan memainkan peranan yang utama dalam memberikan buah yang terbaik. Dengan iman-lah, membuahkan percaya. Dengan percaya-lah, membuahkan cinta. Dengan cinta membuahkan sayang dan tenteram. Lalu melahirkan harmoni…

Perlu difahami bahawa hakikat mencintai Allah adalah merupakan asas untuk memperolehi kesempurnaan Iman. Tidak dikatakan beriman seseorang itu jika dia tidak mencintai Allah, kerana setiap individu yang mengaku dirinya beriman wajib terlebih dahulu mencintai Allah dengan sepenuh hatinya tanpa berbelah bagi. Belum sempurna akidah seseorang jika ia belum menyerahkan sepenuh cintanya kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak akan menganugerahkan kemanisan iman (iman yang teguh) kecuali setelah seseorang itu benar-benar mencintai-Nya lebih dari segala-galanya. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w:

Kemanisan iman, lahirnya dari sebuah cinta yang tulus…

"Tiga perkara yang menjadikan kamu memperolehi kemanisan (kesempurnaan) iman, iaitu mencintai Allah dan RasulNya lebih dari selain keduanya". (Hadis Riwayat al-Bukhari)

"Cintailah Allah dengan sepenuh hati kamu". (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

Cinta terbina kerana kita adalah hamba. Cinta yang lahir atas dasar ubudiyyah. Kita adalah insan, makhluk yang senantiasa mengharapkan kemurahan sifat dari-Nya… Andainya, sifat pemurah-Nya jauh dari kita… bagimanalah keadaanya kita…

"Cintailah Allah yang telah memberi kamu makan dari nikmatNya" (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

Dalam mengharap cinta… bercintalah atas dasar binaan dari cinta kepada-Nya. Cinta yang lahir dengan didasari memburu redha Ilhai. Terbina dengan jalinan dan ikatan yang dilaksanakan atas practical-nya sifat uluhiyah dan ubudiyyah. Demi sebuah ketulusan sebagai seorang hamba kepada Rabb.

"Aku memohon cinta-Mu (ya Allah), cinta sesiapa yang mencintai Engkau dan mencintai amal yang membawa aku dekat kepada Engkau". (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Dalam persoalan iman/tauhid/akidah, cinta itu dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian sepertimana yang diutarakan ini…

1 – Pertamanya…

Cinta secara tabii atau secara fitrah yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu:

(i). Cinta secara tabii yang muncul dari perasaan rahmah (belas kasihan) dan kasih sayang, seperti mencintai ibu bapa, isteri, anak-anak dan keluarga sebagaimana firman Allah:

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu fitrah kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita dan anak-anak". (Ali Imran 3:14)

Walaupun hakikat cinta seperti ini dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang bergelar insan… malah diizinkan oleh syara’, namun ia tetap memiliki batas yang perlu dipegang dan dijaga supaya tidaklah nanti membelakangkan cintanya kepada Allah dan ditakuti menjerumuskan dirinya ke dalam melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama kerana terpengaruh dengan perasaan, nafsu, kepentingan dan kehendak orang yang dicintainya atau benda-benda yang dicintainya. Dalam hal ini, Allah memberikan peringatan-Nya supaya manusia tidak tersilap langkah lalu terpengaruh kepada hal-hal yang membahayakan dirinya hasil dari perasaan cinta yang dimiliki…

"Hai orang-orang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka". (at-Taghaabun 64:14)

(ii) Cinta secara tabii/fitrah seperti mencintai makanan dan minuman yang terbit lantaran takut ditimpa kelaparan dan kehausan. Mencintai harta kerana takut dihimpit kepapaan atau mencintai kesihatan lantaran takut diserang penyakit. Mencintai perkara-perkara yang tersebut di atas tetap tidak dibolehkan melampaui batas (ghalu) sehingga melupakan Allah dan tanggung jawab ibadah terhadap-Nya seperti berzakat, infak dan sedekah. Kerana mencintai perkara-perkara tersebut sehingga ke tahap berlebih-lebihan merupakan perbuatan jahiliyyah yang boleh membawa kepada perbuatan syirik dan melupakan Allah. Dalam perkara ini, Allah berfirman:

"Dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur-baurkan (yang halal dan yang batil) dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan". (al-Fajr 89:18-20)

Orang-orang yang beriman mencintai makanan, minuman dan benda-benda keduniaan demi kerana atas dasar cintanya terhadap Allah, dan cintanya terhadap semuanya itu tidak dapat mengatasi cintanya terhadap Allah, sehingga tidak akan merasa kikir untuk mengeluarkan zakat, infak atau bersedekah. Sikap orang mukmin itu suka memberi sedekah makanan dan benda-benda yang disukainya. Kerana orang mukmin sentiasa mencintai akhiratnya lebih dari dunianya dan bukan sebaliknya. Sebagaimana firman-Nya:

"Dan mereka memberikan makanan yang disukainya (digemarinya) kepada orang miskin, anak yatim dan orang-orang tawanan". (al-Insaan 76:8)

"Orang-orang yang lebih mencintai kehidupan dunia daripada kehidupaan akhirat". (Ibrahim 14:3)

"Hai anak Adam! pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan". (al-A’raaf 31:7)

(iii). Termasuk cinta yang tabii/fitrah juga adalah mencintai kesempurnaan, kenikmatan dan keelokan/kecantikan sama ada yang bersangkut-paut dengan ilmu pengetahuan atau sesuatu yang tabii seperti mencintai budi pekerti luhur dan amanah, mencintai kesempurnaan hasil reka-cipta yang membawa kepada kebaikan dan seumpamanya.

Umpamanya, dengan adanya sikap mencintai budi pekerti yang luhur seperti amanah nescaya akan menghasilkan tindakan/natijah yang bermutu kerana tabii manusia suka kepada setiap yang bermutu.

Mencintai kenikmatan seperti mencintai manisan madu, kelazatan makanan dan sebagainya adalah cinta secara tabii yang ada pada setiap fitrah kelahiran manusia. Hal seperti ini, termasuklah juga dalam hal mencintai kecantikan isteri, kecantikan kenderaan, keindahan rumah, kecantikan pakaian, perhiasan, pemandangan yang indah dan sebagainya. Cinta dalam hal seperti ini diharuskan selagi tidak keterlaluan dan berlebih-lebihan.

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang sikapnya yang suka kepada kecantikan, lalu Nabi memuji sikapnya itu asalkan tidak membawa kepada riyak dan pembaziran. Kemudian baginda menegaskan bahawa Allah itu cantik, Dia suka kepada kecantikan yang ditunjukkan oleh hamba-Nya sebagaimana sabda baginda:

"Allah itu cantik, Dia sukakan kecantikan".

Manusia dianugerahkan oleh Allah dengan perasaan cinta, maka dengan itu juga, Allah tidak lupa meng-anugerahkan garis panduan dalam menghadapi persoalan cinta yang tertanam di lubuk jasad setiap insan. Dengan agama-lah kita mampu mengawal perasaan cinta, anugerah yang indah ini dengan penuh hikmah dan bijaksana. Kepada Allah-lah wajar kita merujuk hakikat kecintaan yang asalnya memang dianugerahkan oleh-Nya…

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)". (Ali Imran 3:14)

(iv). Seterusnya, hakikat cinta juga ditujukan/dilahirkan atas dasar kebaikan yang ditonjolkan dan mencintai orang yang berlaku baik (orang yang beriman) seperti mencintai pengorbanan seseorang sahabat, pertolongan seseorang di masa kecemasan dan seumpamanya. Dalam hal ini juga masih tetap tidak boleh melampaui batas dan berlebih-lebihan terhadap apa yang dicintai. Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Tidak beriman seseorang kamu sebelum mencintai saudaranya sebagaimana mencintai dirinya sendiri". (Hadis Riwayat al-Bukhari.)

"Dari Ibn Abbas berkata: Sesiapa yang mencintai (saudaranya yang mukmin) kerana cintanya pada Allah, membenci (orang-orang kafir dan fasik) kerana mencintai Allah dan membenci (musuh-musuh) kerana cintanya pada Allah. Maka ia akan diangkat menjadi Waliullah kerana cintanya. Seseorang hamba tidak akan merasai kemanisan iman sekalipun banyak bersembahyang dan berpuasa sehinggalah ia menjadi seperti itu (mencintai Allah)". (Hadis Riwayat Ibn Jarir)

2 – Keduanya…

Cinta yang merosakkan tabii/fitrah, seperti mencintai apa sahaja yang berkaitan dengan dunia untuk memuaskan hawa nafsunya dan meninggalkan saranan wahyu bagi membimbing rasa cinta yang terwujud itu. Seseorang itu dianggap telah melanggar fitrahnya walaupun pada diri seseorang yang mengakui sebagai Muslim. Persoalan dalam hal ini adalah seperti mencintai harta kekayaan dengan rakusnya, melibatkan diri di dalam kancah politik taghut, mengamalkan ekonomi kuffar, perundangan bukan dari saranan wahyu dan apa sahaja yang memberi keuntungan pada dirinya yang lantas menjadikannya menyisihkan agama atau ketetapan syara’. Orang-orang yang rosak tabiinya seperti ini dianggap sebagai berdosa dan mungkin ditakuti menjadi fasik malah tidak akan mendapat petunjuk daripada Allah jika tidak bertaubat. Ianya adalah sebagaimana firman-Nya:

"Yang demikian itu disebabkan kerana sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat dan bahawasanya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang ingkar". (an-Nahl 16:107)

Antara lain… cinta yang terkeluar dari bimbingan syara’ ialah perbuatan mencintai dunia sehingga membawa kepada sifat lalai terhadap kewajipan agama akibat memiliki sikap yang berlebih-lebihan. Hal ini juga telah diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran:

"Maka ia berkata: Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingati Tuhanku sampai kuda itu hilang dari pandangan". (Saad 38:32)

3 – Ketiga…

Dalam bahagian yang seterusnya ini, ia adalah difokuskan kepada persoalan cinta yang ter-agung sekali. Iaitu merupakan cinta yang khusus untuk Allah s.w.t yang melibatkan amalan ubudiyah yang tidak boleh berbelah bagi atau disekutukan dengan makhluk. Cinta dalam hal ini merangkumi persoalan ketaatan, mengagungkan, menyerah diri, tunduk dan khusuk semata-mata untuk Allah, kerana Allah yang mana tidak boleh disekutukan dengan makhluk-Nya. Menyekutukan cinta yang bersifat ubudiyah adalah merupakan sebahagian daripada perbuatan jahiliah, amat keji, mungkar dan membawa kepada syirik. Perbuatan yang membawa kepada kesyirikan digambarkan oleh Allah di dalam al-Quran seperti berikut:

"Dan antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman itu bersangatan cintanya kepada Allah". (al-Baqarah 2:165)

Ayat di atas menunjukkan wujud di kalangan manusia yang mempersembahkan perasaan cinta terhadap makhluk lebih dari mencintai Allah s.w.t sehingga mengangkat dan menyanjungnya ke taraf ketuhanan. Ayat di atas juga menunjukkan bahawa sesiapa yang menyintai sesuatu lebih dari menyintai Allah sehingga melampaui batas, maka apa yang dicintai itu telah dijadikan andad, iaitu sesuatu yang diserupakan atau disetarakan dengan Allah s.w.t. yang mana Allah sendiri dengan jelas mengharamkan perbuatan sedemikian, sebagaimana firman-Nya:

"Maka janganlah kamu membuat tandingan (peyerupaan) bagi Allah, pada hal kamu mengetahui". (al-Baqarah 2:22)

Dalam sahih al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Masoud, beliau berkata:

"Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w; wahai Rasulullah, dosa apakah yang paling besar? Beliau menjawab: Engkau meyamakan Allah (dengan makhluk) sedangkan Dia mencipta engkau".

------
Cinta Yang Menyebabkan Kesyirikan
------

Seseorang yang benar-benar beriman dia hanya menghamparkan cinta hakikinya kepada Allah s.w.t tanpa dipersekutukan cintanya itu dengan sesuatu yang lain. Tetapi bagi orang-orang yang tidak beriman, pasti ada sesuatu, perkara atau hal yang lain yang dianggap lebih dicintai sehingga meyamakan apa yang dicintainya itu sebagaimana mereka mencintai Allah.

Memang telah berlaku dan akan terus wujud orang-orang yang menyekutukan cintanya terhadap Allah dengan sesuatu yang tidak diizinkan oleh syara’. Cintanya kekal selagi kekalnya perkara/benda sampingan yang lebih dicintai, apabila pupus atau terkubur sesuatu yang dicintainya itu maka akan terkuburlah juga cintanya terhadap Allah bersama apa yang disekutukan dengan Allah dalm percintaan mereka.

Perkara sepertimana yang dikemukakan di atas akan terjadi kepada sesiapa sahaja lantaran setiap benda, perkara atau makhluk diberikan perasaan cinta yang tertentu, setanding atau lebih dari cintanya terhadap Allah. Apabila keadaan seperti ini berlaku pada seseorang, maka apa yang dicintainya itu dianggap oleh al-Quran sebagai andad (tuhan/pujaan). Perbuatan seperti ini menurut syara’ adalah syirik yang besar.

Allah dan Rasul-Nya telah menunjukkan cara dan garis panduan sebagai syarat dan tanda yang boleh membuktikan seseorang itu benar-benar mencintai Tuhannya. Penjelasan berikut adalah nas yang menerangkan hal/perkara tersebut:

"Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Ali Imran 3:31)

Allah mengenakan syarat dan meminta pembuktian apabila hamba-Nya mengaku telah beriman dan mencintai-Nya, kerana orang-orang yang mencintai-Nya akan diampunkan dosa-dosa mereka dan diberi sakinah (ketenangan) di dalam hidupnya. Ucapan atau pengakuan sahaja tidak memadai, kerana semuanya itu memerlukan keikhlasan dan pembuktian, tanpa keikhlasan dan pembuktian melalui amalan dan ketaatan adalah pembohongan yang nyata dan melakukan dosa kesyirikan yang tidak terampun. Perbuatan syirik pula adalah merupakan sebahagian daripada amalan/perbuatan/sikap orang-orang jahiliyah. Kesyirikan pula berupaya membatalkan semua pahala, amal kebajikan dan segala ibadah yang telah dikerjakan. Sebagaimana firman Allah:

"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu, jika kamu mempersekutukan (mensyirikkan Allah), nescaya akan hapuslah amalmu dan pasti kamu akan menjadi orang-orang yang merugi". (az-Zumar 39:65)

"Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci (tidak mencintai Allah dan benci) kepada apa yang telah diturunkan Allah (al-Quran) maka Allah hapuskan segala amalan mereka". (Muhammad 47:9)

"Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan (kerana) mereka membenci (tidak mencintai apa yang) diredai-Nya, oleh itu Allah menghapuskan amal-amal mereka". (Muhammad 47:28)

Orang-orang yang tidak beristiqamah dalam mencintai Allah bermakna mereka tidak ikhlas dan telah mempersekutukan cinta mereka dengan makhluk (lebih mencintai makhluk) dengan kadar yang tidak diizinkan oleh syara’. Orang-orang seperti ini tidak akan mementingkan soal-soal agama dan tidak akan serius mengerjakan ibadah. Mereka yang seperti ini adalah orang-orang fasik atau kufur yang masih dibelenggu oleh jaringan golongan jahiliah.

Ciri-ciri mereka dapat diperhatikan dan dikenali pada tingkah-laku atau sikap mereka yang hanya menjaga hubungan cinta mereka dengan orang-orang yang memberi keuntungan kepada mereka. Mereka hanya memikirkan kekayaan dunia, hanya memuja harta benda, hanya mementingkan diri sendiri, dan hanya melayani kehendak atau kepuasan hawa nafsu mereka sahaja. Allah s.w.t telah menceritakan keadaan orang-orang seperti ini:

"Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-mara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik". (at-Taubah 9:24)

Orang-orang yang tidak mencintai Allah dengan sepenuh keikhlasan, mereka tidak akan menjadi insan yang bertakwa dan tidak akan merasa takut kepada Allah. Apa yang sebenarnya mereka cintai hanyalah keduniaan (kebendaan). Malah tiada apa yang mereka takuti kecuali sesuatu yang boleh merugikannya, seperti kehilangan keluarga, kedudukan atau harta benda keduniaan yang sentiasa dipuja dan dicintai.

Golongan fasik seperti yang dinyatakan di atas, terlalu kikir untuk berinfak, terlalu berkira untuk membelanjakan hartanya pada jalan Allah. Mereka melupakan perihal ubudiyah dan meinggalkan tanggungjawabnya terhadap Allah. Samaada sebahagian kecil, atau besarnya. Mereka dikuasai perasaan leka dan asyik dengan hal-hal duniawi dan terlalu sibuk dalam mengumpul harta, kemewahan, kesanagan setiap detik yang dimilikinya. Mereka mengumpat dan mencela (menghina atau mengutuk) orang-orang yang menyuarakan infak atau berinfak, dan golongan fasik seperti ini menyangka bahawa harta benda, keluarga dan dirinya akan kekal di dunia. Sebagaimana yang diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran:

"Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya di hari kiamat".

"Kecelakaan bagi pengumpat dan pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira hanya itu dapat mengekalkannya, sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Khutamah. Tahukah kamu apa itu Khutamah? Itulah Api (yang disediakan) Allah yang menyala dan membakar sampai ke hati. Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka, sedang mereka diikat pada tiang-tiang yang panjang". (al-Humazah 104:1-9)

Adapun dalm fenomena seumpaman ini, ianya tidak hanya melibatkan persoalan harta dan kekayaan, malah mungkin juga melibatkan persoalan cinta wanita, perjudian, dan pelbagai perkara lain yang maksiat dan juga tidak berfaedah.

------
Pembuktian Cinta
------

Seseorang yang mendakwa bahawa dirinya mencintai Allah dan mengasihiNya, tetapi tidak mengikuti atau tidak mentaati syariatNya serta sunnah NabiNya, maka orang seperti ini pada hakikatnya bukan sahaja tidak mencintai Allah malah sudah membatalkan akidah, membatalkan kalimah tauhid yang diucapkan dan amal ibadahnya. Kerana kesempurnaan tauhid adalah setelah mencintai Allah s.w.t dan RasulNya lebih dari segala-galanya. Sebagaimana firmanNya:

"Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutlah aku (Rasulullah), pasti Allah cinta kepadamu". (Ali Imran 3:31)

Definisi ibadah itu sendiri antaranya bermaksud cinta yang menyeluruh yang dibuktikan sama ada melalui perbuatan, percakapan dan gerak hati. Sebagaimana definisi yang masyhur dan disepakati oleh ulama:

"Ibadah menurut syara’ ialah: Nama yang menyeluruh (اِسْمٌ جَامِعٌ)untuk apa sahaja (perbuatan) yang dicintai Allah dan diredaiNya sama ada yang berupa tindakan, pertuturan dan perbuatan lahir atau batin (hati)".

Ini bermakna seorang mukmin tidak akan mengucapkan sesuatu ungkapan ucapan, perkataan atau pertuturan dan begitu juga tidak akan melakukan sesuatu pekerjaan sama ada lahir mahupun batin kecuali semata-mata kerana ingin memperolehi cinta dari Allah dan mencari keredaan-Nya agar dapat memurnikan cintanya (ibadahnya) kepada Allah s.w.t. Cinta kepada Allah adalah ibadah seperti mana yang telah dijelaskan, oleh sebab itu wajiblah dilakukan dengan sepenuh keikhlasan. Sebagaimana firman-Nya:

"Maka beribadahlah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan hanya untuk-Nya". (az-Zumar 39:2)

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus". (al-Bayyinah 98:5)

Bukti kesempurnaan cinta seseorang hamba kepada Allah s.w.t ialah apabila mencintai apa yang dicintai oleh Allah dan membenci terhadap apa yang dibenci oleh Allah. Sesiapa yang mencintai apa yang dibenci oleh Allah dan sebaliknya, ini membuktikan ketidak sempurnaan tauhidnya (akidahnya) terhadap Allah yang mengakibatkan terbatal segala pahala amalannya. Firman Allah:

"Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikut apa yang menimbulkan kemurkaan Allalh dan (kerana) mereka membenci (apa yang menimbulkan) keredaanNya. sebab itu Allah menghapuskan (pahala) amal-amal mereka". (Muhammad 47: 28)

"Dari Aisyah, dari Nabi s.a.w bersabda: Kesyirikan pada umatku lebih tersembunyi dari seekor semut (halus) di atas batu di malam gelap gelita. Serendah-rendahnya ialah mencintai terhadap sesuatu yang keji atau membenci sesuatu yang adil (kebenaran). Tiadalah agama itu kecuali mencintai dan membenci". (Hadis Riwayat Hakim)

Berkata Hasan al-Basri: "Ketahuilah, bahawasanya engkau tidak akan mencintai Allah sehinggalah mencintai apa yang membawa kepada ketaatan kepada-Nya".

Berkata Basyir bin as-Sirry: "Bukanlah tanda cinta apabila engkau mencinta apa yang dibenci oleh kekasih engkau".

Berkata Abu Yakub (al-Junaid): "Sesiapa sahaja yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak mentaati apa yang telah diperintah, maka dakwaannya itu adalah dusta".

Berkata Yahya bin Mu'az: "Usah dipercaya sesiapa yang mengaku mencintai Allah jika tidak memelihara hudud-Nya (batas-batas Allah)".

Berkata al-Hasan: "Sesungguhnya tidak sempurna pengakuan seseorang: "Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad Rasulullah jika seseorang itu menyedari bahawa cintanya terhadap Allah belum sempurna sebagaimana yang telah disampaikan oleh Muhammad dari Allah". Tidaklah mencintai apa yang dicintai Allah dan membenci apa yang dibenci Allah kecuali dengan mematuhi apa yang disuruh padanya dan meninggalkan apa yang ditegah. Dan dijadikan mencintai Allah suatu kelaziman untuk mencintai RasulNya dalam hal mempercayai dan mentaatinya. Oleh sebab yang demikian ia diseiringkan dalam satu ayat pada mencintaiNya dan mencintai RasulNya. Sebagaimana firmanNya:

"(Semuanya itu) lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya". (at-Taubah 9:24)

Allah mencintai hamba-Nya yang istiqamah dalam mengerjakan yang wajib dan meninggalkan yang ditegah. Allah juga mencintai hamba-Nya yang mengerjakan tatawwu' dalam mengerjakan yang nawafil (perkara-perkara yang disunnahkan). Semuanya ini telah digambarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam hadith kudsi yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:

"Seseorang hamba akan sentiasa mendekatkan dirinya pada-Ku dengan (mengerjakan) nawafil (amalan-amalan sunnah) sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dia dengar, Akulah penglihatannya yang dia lihat, Akulah tangannya yang dia pegang dan Akulah kakinya apabila dia berjalan". (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, antara definisi ibadah adalah "taat" dan sekarang kita ditemukan dengan definasi yang seterusnya iaitu antara pengertian ibadah ialah: "cinta". Sememangnya seseorang itu tidak akan taat kecuali ada pada dirinya perasaan cinta dan tidak akan ada perasaan cinta kecuali adanya pengikat iaitu ketaatan, dua kalimah ini saling berkait dan tidak dapat dipisahkan. Cinta yang sebenar tidak boleh berbelah bagi sebagaimana firman Allah:

"Orang-orang beriman cintanya bersangatan kepada Allah". (al-Baqarah 2:165)

Nabi Muhammad s.a.w mewajibkan orang-orang yang beriman mencintai Allah dengan sepenuh hati, jiwa dan raga sebagaimana sabda baginda:

"Cintailah Allah sepenuh hati kamu". (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

"Hendaklah mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi selain dari keduanya". (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Secara kesimpulannya, seseorang mukmin diizinkan mecintai selain dari Allah dan Rasul-Nya, tetapi tidaklah harus cintanya itu melebihi cinta kepada Allah dan hanya mencintai selain dari Allah pula dipahatkan semata-mata kerena mencintai Allah. Begitu juga apabila membenci, sewajarnya membenci semata-mata hanya kerana Allah. Bagi setiap mukmin semua perkara yang dilakukan mestilah dengan keikhlasan demi kerana Allah bukan kerana kepentingan sesuatu yang lain atau kerana hawa nafsunya. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w:

"Cintailah demi kerana Allah dan bencilah demi kerana Allah". (Hadis Riwayat Ibn Jarir)

0 comments:

Post a Comment